AC Milan terus beri sokongan kepada Gattuso -- Rodriguez

Oleh Penulis Jemputan 27 Oktober 2018 66
AC Milan terus beri sokongan kepada Gattuso -- Rodriguez
Barisan pemain AC Milan berdiri teguh sepenuhnya di belakang pengurus, Gennaro Gattuso, yang kini di bawah tekanan hebat, kata Ricardo Rodriguez.

Selepas tumbang dalam pertembungan 'derby Milan' menerusi tandukan lewat permainan oleh Mauro Icardi, Isnin lalu, nasib malang Rossoneri berlanjutan apabila tumpas 1-2 kepada Real Betis dalam pertembungan Liga Europa, semalam. 

Justeru, selepas tamat permainan, Gattuso mendedahkan jawatannya sedang dipantau ketat biarpun Milan tidak pernah kalah dalam lapan perlawanan sebelum kekalahan 'derby' tersebut.

Bagaimanapun, Rodriguez menegaskan bahawa Gattuso yang dilantik pada November 2017, mendapat sokongan penuh daripada skuad itu.

"Kami tewas dua perlawanan dan kami berang," kata bekas pertahanan Wolfsburg itu kepada Sky Sports.

"Tetapi, untuk keluar daripada tempoh sukar ini, kami harus tenang dan fokus.

"Kami baik-baik saja dengan Gattuso. Kami akan menghadapi Sampdoria, kami perlu buktikan kemampuan."

Milan menduduki tangga ke-12 Serie A, enam mata dijarakkan dengan perebutan kelayakan Liga Juara-Juara setelah memenangi tiga daripada lapan perlawanan liga.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen