Marco Giampaolo dipecat daripada jawatan ketua jurulatih AC Milan selepas hanya mengemudi pasukan itu dalam tujuh perlawanan.

Skuad Rossoneri itu bergelut sepanjang awal musim ini dan kemenangan 2-1 ke atas Genoa, Sabtu lalu belum cukup untuk meyakinkan lembaga pengarahnya untuk mengekalkan Giampaolo.

Selepas menggantikan Gennaro Gattuso di San Siro, Giampaolo ditugaskan untuk membina kembali pasukan itu yang menamatkan Serie A musim lalu di tangga kelima, namun tugasnya bermula buruk apabila tewas 0-1 kepada Udinese dalam perlawanan pembukaan.

Mereka kemudian meraih kemenangan ke atas Brescia dan Hellas Verona, namun selepas tewas 0-2 kepada Inter Milan dalam perlawanan 'derby', ia disusuli dua lagi kekalahan kepada Torino dan Fiorentina.

Dalam satu kenyataan ringkas yang dikeluarkan awal pagi tadi, kelab itu berkata: "AC Milan mengumumkan bahawa Encik Marco Giampaolo telah dilepaskan daripada jawatan ketua jurulatih pasukan utama.

"Kelab ini berterima kasih kepada Marco di atas usahanya dan mendoakan yang terbaik buat kariernya."

Bekas pengurus Inter, Stefano Pioli, dijangka akan dinamakan sebagai pengganti Giampaolo selepas tidak memiliki sebarang pasukan untuk dibimbing sejak meninggalkan Fiorentina, April lalu.

Dia juga pernah menjadi pengurus Lazio dan skuad Nerazzurri itu sepanjang kariernya -- hanya bertahan tujuh bulan di Inter dari November 2016 hingga Mei 2017.

Seorang lagi bekas pengurus Inter yang turut dikaitkan ialah Luciano Spalleti manakala Gattuso juga berkemungkinan diberikan tawaran semula dan legenda Milan, Andriy Shevchenko, turut berada dalam senarai itu.