Biarpun memiliki rekod cemerlang, termasuk menyingkirkan pasukan pilihan, Felcra FC, kelab dari Perak, PKNP FC, enggan mendabik dada turun selaku pasukan pilihan dalam perlawanan akhir pertama Piala FAM 2016 untuk berdepan MISC-MIFA di Stadium Shah Alam, esok.

Di bawah kendalian bekas jurulatih Perak, Abu Bakar Fadzim, PKNP dilihat sebuah pasukan yang lebih seimbang kerana dibekalkan ramai bekas pemain Piala Presiden Perak.

Bagaimanapun, situasi itu tidak membuatkan Abu Bakar atau lebih mesra dengan panggilan Burn terlalu yakin bahawa MISC-MIFA sebuah lawan yang mudah dijinakkan.

"Pemain bermain bermati-matian pada separuh akhir kedua (menentang Felcra FC), di mana kami ketinggalan, sebelum kami mengejar untuk menjaringkan tiga gol.

"Saya harap pemain cepat cergas dan juga berharap pemain kekal ada 'keinginan' hingga ke final," katanya.

PKNP menewaskan Felcra 3-2 dalam separuh akhir kedua selepas kedua-dua pasukan terikat 0-0 dalam perlawanan pertama.

Bagi jurulatih MISC-MIFA, Jacob Joseph, objektif utama mereka di Shah Alam ialah untuk menyekat PKNP daripada mendapatkan jaringan di laman lawan.

Melihat PKNP sebagai lawan lebih baik di jentera serangan kerana miliki pemain muda yang pantas, Jacob sedia menggunakan taktik bertahan untuk mengecewakan hajat PKNP.

"Kalau boleh, saya akan cuba hentikan mereka daripada menjaringkan gol. Sebab apa, kami ada dua perlawanan, kalau satu mungkin taktikal berbeza.

"Jadi, kami akan cuba halang gol mereka di tempat sendiri," kata Jacob.

Final pertama Piala FAM di antara MISC-MIFA dan PKNP pada jam 8.30 malam esok akan disiarkan secara langsung menerusi Astro Arena.