Juara Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT), menguasai pencalonan awal Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2018 (ABK18) selepas tersenarai dalam 10 kategori dipertandingkan.

Menurut senarai yang dikeluarkan Malaysian Football League (MFL), pemain JDT, Safawi Rasid, tercalon dalam kategori Pemain Tengah Terbaik bersama Nik Akif Syahiran Nik Mat (Kelantan) dan Nor Azam Abdul Azih (Pahang).

Safawi, 21, bersama-sama Nik Akif Syahiran serta Akhyar Abdul Rashid dari Kedah turut disenarai pendek dalam kategori Pemain Muda Harapan.

Bagi kategori Penjaga Gol Terbaik, yang tercalon adalah Farizal Marlias (JDT), Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy (Perak) dan Khairul Fahmi Che Mat (Melaka United).

JDT juga memiliki wakil dalam kategori Pertahanan Terbaik melalui S. Kunanlan yang akan bersaing dengan kapten Pahang, Matthew Davies, dan pemain Perak, Shahrul Saad.

Ahmad Hazwan Bakri (JDT), Akhyar dan Shahrel Fikri Md Fauzi (PKNP FC) pula akan merebut anugerah tumpuan Penyerang Terbaik selain Gonzalo Cabrera, Lee Tuck (TFC) serta Rufino Segovia (Selangor) untuk anugerah Pemain Import Terbaik.

Satu kategori baru diperkenalkan MFL tahun ini, iaitu Pemain Asean Terbaik, yang akan dimenangi sama ada pemain PKNS FC, Faris Ramli, kapten JDT, Hariss Harun, atau pemain tengah Pahang, Safuwan Baharudin.

Turut menjadi perhatian kategori jurulatih menyaksikan perebutan juara Liga Perdana, B. Sathianathan (Felda United), juara Piala FA, Dollah Salleh (Pahang) serta Mehmed Durakovic yang memenangi Piala Malaysia bersama Perak.

Sementara itu, sokongan padu peminat setia JDT, Kedah serta Pahang membolehkan mereka tersenarai dalam anugerah Penyokong Terbaik manakala pengurusan media JDT, Selangor dan TFC dicalonkan sebagai Media Sosial Terbaik serta Laman Web Terbaik.

ABK18 akan berlangsung Isnin ini di Bangsar, Kuala Lumpur pada jam 9 malam dan siaran langsung akan disiarkan Astro Arena serta saluran iflix.

Kredit foto: Malaysian Football League (MFL)