Dua pemain muda sensasi negara, Muhammad Akhyar Abdul Rashid dan Muhammad Safawi Rasid, serta pemain Kelantan, Nik Akif Syahiran Nik Mat, bersaing untuk kategori Pemain Muda Harapan dalam majlis Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2018 (ABK18), Isnin ini.

Muhammad Akhyar, 19, yang beraksi bersama Kedah dan pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) berusia 21 tahun, Safawi, akan mencabar pemain Kelantan berusia 19 tahun itu untuk anugerah berkenaan.

Muhammad Akhyar turut berada dalam senarai akhir bagi anugerah Penyerang Terbaik ABK18 bersama-sama Ahmad Hazwan Bakri (JDT) dan Shahrel Fikri Md Fauzi (PKNP FC).

Muhammad Safawi pula turut tersenarai bagi kategori Pemain Tengah Terbaik bersama Nik Akif Syahiran dan Nor Azam Abdul Azih (Pahang).

Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy yang muncul wira pasukan Perak apabila membantu skuad The Bos Gaurus untuk menjuarai Piala Malaysia, Sabtu lalu, merupakan antara calon untuk kategori Penjaga Gol Terbaik bersama-sama Farizal Marlias (JDT) dan Khairul Fahmi Che Mat (Melaka United).

Menurut kenyataan daripada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), sebanyak 25 kategori disenaraikan bagi ABK kali ini, dengan tambahan kategori terbaru, iaitu Pemain ASEAN Terbaik.

Sembilan daripada kategori itu telah melalui proses saringan oleh Jawatankuasa Saringan ABK18 dan seterusnya undian yang dilaksanakan oleh 23 ketua jurulatih, 23 ketua pasukan dan 23 wakil media.

“Kesemua kategori dan pencalonan berkenaan telah diteliti dan disenarai pendek kepada 10 calon untuk setiap kategori oleh Jawatankuasa Saringan ABK18 yang terdiri daripada enam ahli panel, termasuk Ketua Jurulatih Bawah-23 tahun negara, Datuk Ong Kim Swee, yang mewakili Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM),” menurut kenyataan itu.

ABK18 yang akan berlangsung di sebuah hotel di ibu negara pada Isnin ini, akan disiar secara langsung bermula 9 malam di saluran Football Malaysia iflix dan Astro Arena.

Berikut merupakan tiga calon terakhir bagi setiap kategori:

Penjaga Gol Terbaik: Farizal Marlias (JDT), Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy (Perak), Khairul Fahmi Che Mat (Melaka United).

Pertahanan Terbaik: Matthew Davies (Pahang), S. Kunanlan (JDT), Shahrul Saad (Perak).

Pemain Tengah Terbaik: Nik Akif Syahiran Nik Mat (Kelantan), Nor Azam Abdul Azih (Pahang), Muhammad Safawi Rasid (JDT).

Penyerang Terbaik: Ahmad Hazwan Bakri (JDT), Muhammad Akhyar Abdul Rashid (Kedah), Shahrel Fikri Md Fauzi (PKNP FC).

Jurulatih Terbaik: B. Sathianathan (Felda United FC), Dollah Salleh (Pahang), Mehmed Durakovic (Perak).

Pemain Import Terbaik: Gonzalo Cabrera (JDT), Lee Tuck (Terengganu), Rufino Segovia (Selangor).

Pemain ASEAN Terbaik: Faris Ramli (PKNS FC), Hariss Harun (JDT), Safuwan Baharudin (Pahang).

Pemain Muda Harapan: Muhammad Akhyar Abdul Rashid (Kedah), Nik Akif Syahiran Nik Mat (Kelantan), Muhammad Safawi Rasid (JDT).

Penyokong Terbaik: JDT, Kedah, Pahang.

Media Sosial Terbaik: JDT, Selangor, Terengganu FC.

Laman Sesawang Terbaik: JDT, Selangor, Terengganu FC.