Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) 2019 diselubungi kontroversi apabila tiada pencalonan buat pengendali Johor Darul Ta'zim, Benjamin Mora, untuk anugerah jurulatih terbaik.

Malah, ketua jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak, yang tersenarai antara tiga calon akhir juga tidak diangkat sebagai pemenang meskipun membantu skuad Lang Merah itu memenangi satu piala musim ini tatkala pengendali Pahang, Dollah Salleh, muncul selaku Jurulatih Terbaik ABK 2019.

"Itu dilakukan selepas pelbagai saringan dilalui untuk pemilihan. Jadi, sukar untuk memberikan komen. Panel juri terdiri daripada individu yang berkaliber dan semua melalui saringan yang tertentu," kata Pengerusi ABK 2019, Joehari Ayub.

"Saya agak terkejut apabila diumumkan sebagai pemenang. Terima kasih diucapkan atas penghargaan ini dan diharapkan ia dapat membantu saingan yang lebih baik dalam bola sepak tempatan," tambah Dollah.