Penjaga gol negara, Farizal Marlias, berbangga dengan aksi cemerlang yang ditampilkan rakan sepasukan, Khairul Azhan Khalid, yang mengisi slot utama di gawang negara dalam kejayaan Malaysia mengatasi Thailand 2-1 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, kelmarin.

Farizal, 33, sebelum ini menjadi pilihan utama ketua jurulatih negara, Tan Cheng Hoe, dalam ketiga-tiga aksi pertama Kumpulan G, Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Namun, dia digugurkan daripada senarai kesebelasan utama negara ketika menentang skuad Gajah Perang itu selepas dibolosi lima gol dalam kemenangan 3-2 ke atas Indonesia dan tewas dua kali 1-2 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan 0-1 kepada Vietnam.

Penjaga gol nombor satu Johor Darul Ta’zim (JDT) itu, bagaimanapun, meletakkan kemenangan ke atas Indonesia di Stadium Nasional, Selasa ini, sebagai keutamaan berbanding siapa yang bakal menjadi pilihan Cheng Hoe di posisi tersebut.

“Bagi saya, sesiapapun yang diberi peluang (beraksi), mereka harus jalankan tugas sehabis baik,” katanya kepada pemberita dalam Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2019 di Bangi, malam tadi.

“Perlawanan menentang Indonesia merupakan satu perlawanan yang penting bagi kami dan jika menang, peluang (mara ke pusingan akhir Piala Asia 2023) masih ada.

“Sama ada saya, Haziq (Muhammad Haziq Nadzli) atau Yan (Khairul Azhan), jika diberi peluang kami harus jalankan tugas dengan baik. Saya berbangga dengan prestasi Yan sekarang dan kami bertiga harus bekerja keras untuk merebut posisi penjaga gol itu,” katanya.

Dalam majlis anugerah itu, Farizal dinobatkan sebagai Penjaga Gol Terbaik ABK 2019 untuk merangkul anugerah itu buat kali keempat sepanjang kariernya.

Hanya bekas penjaga gol negara yang kini beraksi bersama Melaka, Khairul Fahmi Che Mat, pernah meraih gelaran itu sebanyak lima kali dan rekod tersebut tidak mengganggu tumpuan Farizal untuk terus meningkatkan mutu prestasinya.

“Saya tak terfikir pasal nak mencabar rekod. Kalau menang, itu rezeki saya dan saya hanya bekerja keras untuk berikan aksi terbaik serta konsisten dalam setiap perlawanan bagi kejayaan kepada pasukan."

-- BERNAMA