Penjaga gol Johor Darul Ta'zim (JDT), Farizal Marlias, menyifatkan 2018 adalah tahun kebangkitan untuk dirinya apabila karier bola sepaknya sebelum ini terpalit dengan insiden hitam sehingga digantung lapan bulan.

Farizal dinobatkan sebagai Penjaga Gol Terbaik dalam majlis Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) 2018, malam tadi.

Dia mengetepikan saingan daripada Muhammad Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy dari Perak dan Khairul Fahmi Che Mat dari Melaka United.

Ia kejayaan yang manis untuk dirinya sepanjang mengharungi musim ini selepas membantu JDT merangkul juara Liga Super buat kali kelima berturut-turut selain kembali mendapat tempat dalam kem kebangsaan selepas tiga tahun.

Perkembangan itu membantu Farizal untuk memadam episod hitam digantung lapan bulan oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) tahun lalu akibat insiden kekasaran bertemu Ceres Negros dari Filipina dalam saingan separuh akhir Piala AFC.

"Sukar dipercayai. Ini kerana setelah lapan bulan tidak beraksi, lapan bulan dipalit sejarah hitam, saya kembali dengan lebih mantap meberusi sokongan keluarga, rakan-rakan, peminat, khususnya Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim," katanya.

Turut sama menggondol anugerah berprestij dalam majlis gala itu adalah kapten pasukan Perak, Shahrul Saad, yang dinobatkan sebagai Pemain Pertahanan Terbaik musim ini.

Shahrul, yang menjadi tonggak penting buat The Bos Gaurus menjulang Piala Malaysia dalam tempoh 18 tahun, tidak menyangka dipilih untuk meraih anugerah berkenaan, mengetepikan dua lagi calon, Matthew Davies (Pahang) dan S. Kunanlan (JDT).

"Saya berasakan tahun ini amat berharga kerana setelah bertahun-tahun memberikan yang terbaik dan Alhamdulillah rezeki memihak saya kali ini," kata Shahrul.