Pemain Ghana, Thomas Abbey, memberi persembahan memuaskan hati pengendali Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) FC, Abu Bakar Fadzim, dalam perlawanan pra-musim menentang UiTM, Sabtu lalu.

Dalam perlawanan di Stadium Majlis Perbandaran Manjungitu, Abbey, 25 menunjukkan kemampuannya ketika mengendali jentera tengah PKNP FC.

"Terlalu awal untuk menilai kemampuan sebenar Abbey kerana baru menyertai pasukan.

"Namun, dia memiliki ciri-ciri yang dicari, iaitu rajin dan bekerja kuat serta menepati sebagai seorang pemain pasukan kebangsaan Ghana," katanya.

Biarpun anak buahnya tumpas 0-2 dalam perlawanan itu, Abu Bakar tidak begitu ambil pusing kerana perlawanan itu medan menguji pemain.

"Saya mencuba pemain, terutama yang muda, untuk diketengahkan dalam pasukan.

"Jadi keputusan perlawanan tidak begitu penting kerana saya mahu lihat kemampuan pemain," katanya.

Jurulatih itu berkata dia mencari dua penyerang import yang dijangka tiba dalam minggu ini.

Beliau berkata PKNP FC akan menguji pemain dalam perlawanan dengan Selangor hujung minggu ini.