Seramai 24 guru sekolah rendah dan 24 guru sekolah menengah di Terengganu menyertai Kursus Kejurulatihan Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) peringkat negeri di Kompleks Sukan Gong Badak yang berakhir kelmarin.

Menurut ketua jurulatih remaja Terengganu, Mohd Fuad Mamat, tujuan kursus itu diadakan adalah menyediakan jurulatih terbaik untuk mengasah bakat-bakat baharu di peringkat sekolah.

“Adalah menjadi hasrat PPBN agar modul latihan di peringkat kebangsaan diseragamkan di peringkat daerah dan negeri agar dapat mengeluarkan produk yang lebih baik.

“Memandangkan hanya ada beberapa daerah di dalam program PPBN, akan berlaku masalah setiap kali kejohanan peringkat negeri dianjurkan kerana tidak semua mendapat input yang betul.

“Dengan adanya pendedahan seumpama ini, pemain-pemain di peringkat sekolah sudah mula mendapat latihan dan falsafah bola sepak yang sama seperti di peringkat lebih tinggi.

“Objektif utama adalah untuk menjadikan guru-guru ini berkelayakan memimpin pasukan daerah masing-masing mengikut acuan PPBN seterusnya melahirkan lebih ramai pemain berbakat,” kata Fuad.

Kursus kejulatihan anjuran PPBN dengan kerjasama Majlis Sukan Sekolah Terengganu (MSST), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) itu berlangsung enam hari meliputi dua sesi pembelajaran.

“Guru-guru ini didedahkan dengan asas-asas bola sepak, teknik latihan, corak permainan serta bentuk latihan di peringkat akar umbi.

“Selain itu, sesi latihan teori turut dijalankan di dalam kelas di mana guru-guru ini berkongsi falsafah dan konsep bola sepak mengikut modul PPBN.

“Di peringkat negeri ini juga sudah terdapat enam jurulatih di setiap empat Pusat Latihan Daerah (PLD) untuk sekolah menengah manakala PLD sekolah rendah turut mempunyai jumlah yang sama,” tambahnya lagi.