Seramai 24 peserta menyertai Kursus Kejurulatihan Lesen D AFC/FAM anjuran Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) selama lima hari yang berakhir, kelmarin.

Menurut Pengarah Pembangunan Kejurulatihan PBSNT, Marzuki Sulong, kursus itu antara inisiatif PBSNT dalam melahirkan lebih ramai jurulatih bertauliah dan berkelayakan di Terengganu.

Tambahnya, jurang di antara jurulatih muda dan jurulatih berpengalaman di negeri itu yang semakin membesar jelas membimbangkan.

Justeru, situasi itu mendorong PBSNT menyediakan platform untuk peserta mendapat pendedahan sewajarnya.

“Dengan adanya Lesen D ini, setiap jurulatih boleh memberi sumbangan di peringkat akar umbi, khususnya di daerah masing-masing,” kata Marzuki yang juga Ahli Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM.

Kursus yang dikendalikan Abdul Ghani Malek itu memberi penekanan dalam aspek asas awalan bola sepak, antaranya teknik hantaran, menggelecek dan kejurulatihan penjaga gol.

Peserta-peserta juga menjalani sesi kelas teori menerangkan prinsip, etika, tugas dan tanggungjawab seorang jurulatih, selain diberi ujian bertulis.

“Program seumpama ini seiring dengan hasrat FAM untuk mendidik jurulatih muda di luar sana kerana melalui jurulatih yang berkualiti, akan lahir juga pemain yang berkualiti,” kata Ghani.