Skuad futsal negara memanggil 16 pemain untuk menghadiri kem latihan pusat fasa empat bermula 20 Disember ini sebagai persediaan akhir bagi menghadapi Kejuaraan Futsal AFF 2016 di Bangkok, 21-30 Januari depan.

Daripada senarai 16 pemain itu, jurulatih, Chiew Chun Yong, hanya dua muka baharu, iaitu Abu Haniffa Hassan dari Felda United dan Nik Akif Syahiran Nik Mat, pemain berusia 17 tahun yang membantu Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) menjuarai Kejohanan Bola Sepak Piala Belia 2016.

“Untuk kem latihan pusat kali ini, saya memanggil dua pemain yang tiada dalam kem fasa dua dan tiga sebelum ini, iaitu Abu Haniffa dan Nik Akif," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), hari ini.

“Bagaimanapun, saya mungkin terpaksa mencari seorang lagi pemain muda jika Nik Akif perlu melapor diri awal dengan pasukan bola sepak Piala Belia, Felda United, untuk persiapan musim 2017."

Pemain akan melapor diri pada 20 Disember ini untuk menghadiri Perhimpunan Atlet Sukan SEA 2017 anjuran Majlis Sukan Negara (MSN) selama dua hari di ibu negara, sebelum mula turun menjalani latihan di KSL Sports Puchong pada 22 Disember.

“Saya juga tidak dapat menyenaraikan Shamsul Akmar Zamri (MPSJ) bagi kejohanan kali ini kerana dia meminta untuk diberi pelepasan atas sebab-sebab peribadi dan keluarga yang tidak dapat dielakkan."

Skuad futsal negara akan berlepas awal ke Bangkok pada 15 Januari untuk beberapa perlawanan persahabatan sebelum kejohanan bermula.

“Sebagai persiapan terakhir sebelum menghadapi aksi sebenar, saya telah merancang untuk pasukan kami pergi ke Bangkok lebih awal.

"Ia bertujuan untuk mengadakan tiga perlawanan persahabatan, iaitu dua perlawanan bertemu kelab Thailand, Nonthaburi FC dan Bangkok FC atau Royal Thai Navy, serta satu lagi perlawanan bertemu pasukan kebangsaan," kata Chun Yong.

Dalam Kejuaraan Futsal AFF 2016 itu nanti, Malaysia berada dalam Kumpulan B bersama Singapura, Indonesia, Laos dan Myanmar.

Kumpulan A pula hanya menampilkan empat pasukan, iaitu tuan rumah, Thailand, Vietnam, Brunei dan Timor Leste.

Kejohanan tersebut sepatutnya berlangsung pada November lalu, bagaimanapun, ia ditunda berikutan kemangkatan Raja Thailand, Raja Bhumibol Adulyadej, 13 Oktober lalu.

Senarai 16 pemain:

Bil

Nama

Umur

Pasukan

1.

Muhammad Awaluddin Hassan

25

Selangor

2.

Mohd Khairul Effendy Mohd Bahrin

29

Selangor

3.

Saiful Aula Ahmad

24

Selangor

4.

Mohamad Fadzil Ab Karnim

29

Selangor

5.

Mohd Ridhwan Zainal

28

Selangor

6.

Azrul Hadee Mohd Taufiq

29

Felda United

7.

Saiful Nizam Mohamad Ali

25

Felda United

8.

Mohd Azwann Ismail

24

Felda United

9.

Muhammad Azri Rahman

22

Felda United

10.

Abu Haniffa Hassan

25

Felda United

11.

Mohd Firdaus Razali

32

MPSJ

12.

Syed Aizad Daniel Syed Nasir

20

MPSJ

13.

Muhammad Aidil Shahril Rosli

19

MPSJ

14.

Nik Akif Syahiran Nik Mat

17

SSBJ

15.

Akmarulnizam Mohd Idris

25

Pahang

16.

Mohd Ridzwan Bakri

22

Sabah