Ketua jurulatih San Antonio Spurs, Gregg Popovich, mengakui rasa meluat dengan kemenangan Donald Trump sebagai Presiden baru Amerika Syarikat menggantikan Barack Obama.

Trump dipilih selaku Presiden Amerika Syarikat yang ke-45 dan ramai pihak kecewa dengan keputusan itu.

Ramai atlet telah menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap Trump di atas kemenangannya dan kini, Popovich, antara nama besar dalam sukan bola keranjang, turut tidak menyembunyikan pendapat peribadinya.

"Saya rasa meluat," katanya ketika sesi sidang media pada Jumaat menerusi MySanAntonio.com.

"Bukan kerana pihak Repubikan yang menang tetapi kenyataan yang keluar daripada mulut Trump selama ini sering kali berbaur perkauman di samping beberapa perkara lain.

"Saya kini hidup di sebuah negara di mana separuh daripada rakyat negara ini mengetepikan semua faktor itu dan masih memilih untuk mengundi dia.

"Perkara ini sangat menakutkan saya. Mereka yang mengundi langsung tidak memikirkan kepentingan alam sekitar dan Obamacare. Kita hidup di sebuah negara yang tidak melihat kesan pemilihan Trump terhadap anak-anak kita.

"Jika anak-anak kita mengucapkan kata-kata seperti mana dilakukan Trump, mereka akan dikurung untuk beberapa tahun di rumah."

Popovich turut mempertahankan pihak media yang sering kali jadi bahan kecaman Trump.

"Dia marah dengan media kerana mereka melaporkan apa yang keluar daripada mulutnya. Pada saya, itu sangat ironik dan tidak masuk akal," ujarnya.

"Saya sering kali tertanya-tanya mengapa negara ini sanggup bertolak-ansur dengan individu seperti Trump dan memperjudikan hak mereka yang lain.

"Saya seorang rakyat Amerika berkulit putih yang kaya tetapi saya juga rasa nak muntah dengan kemenangan Trump."

Saya tidak boleh membayangkan situasi yang akan dihadapi seorang Muslim, kulit hitam, Hispanik atau orang kurang upaya. Saya tidak sangka ada yang sanggup mengetepikan semua itu dan mengundi Trump."