Playoff NBA: James, Davis bawa Lakers ke pusingan kedua 

Oleh Shaiful Shamsudin 30 Ogos 2020 53
Playoff NBA: James, Davis bawa Lakers ke pusingan kedua 
LeBron James dan Anthony Davis mencetuskan inspirasi buat Los Angeles Lakers menerusi kemenangan 4-1 ke atas Portland Trail Blazers dalam pertemuan playoff NBA sebentar tadi. 

Kempen NBA musim ini kembali bersambung di Walt Disney World Resort selepas mogok selama tiga hari berikutan tunjuk perasaan terhadap kekejaman polis dan ketidakadilan kaum susulan penembakan pemuda kulit hitam, Jacob Blake, di Wisconsin.

James mencatat 36 mata, 10 rebound dan 10 bantuan jaringan sementara Davis menamatkan permainan dengan menyumbang 43 mata dalam kemenangan 131-122 pusingan pertama Persidangan Barat itu yang menyaksikan Lakers muncul pasukan pertama mengesahkan kelayakan ke separuh akhir berkenaan.

Davis dan James muncul duo pertama sejak penggabungan ABA-NBA untuk merekodkan statistik pemarkahan melebihi 35 mata daripada 70 peratus percubaan masing-masing dalam sesebuah perlawanan playoff. 

 

Pilihan utama, Lakers, akan menentang Houston Rockets atau Oklahoma City Thunder dalam pusingan kedua kelak. 

Sementara itu, Milwaukee Bucks meneruskan kemaraan dalam Persidangan Timur hasil kemenangan 118-104 ke atas Orlando Magic.

The Bucks, tempat tercetusnya tunjuk perasaan di seluruh sukan profesional di Amerika Syarikat (AS) Rabu lalu, diketuai Giannis Antetokounmpo ketika kembali ke gelanggang.

Bintang Bucks dan Pemain Paling Bernilai musim ini itu menyumbang 28 mata dan 17 rebound sambil Miami Heat sudah tersedia untuk mereka dalam pusingan seterusnya.
 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen