Kejuaraan Piala Agong dengan membimbing Negeri Sembilan berupaya menjadi pelengkap kepada musim 2018 buat ketua jurulatih skuad bola keranjang lelaki negara, Brian Lester, selepas membimbing Malaysia ke peringkat kelayakan utama Piala Asia 2021.

Skuad negara di bawah kendalian Lester melalui kempen cemerlang dalam kempen pra-kelayakan di Nonthaburi, Thailand, yang berakhir 1 Disember lalu.

Malaysia mara ke peringkat kelayakan utama sebagai pasukan kedua terbaik Divisyen Timur di belakang Guam.

Sebanyak 24 pasukan, termasuk seteru Asia Tenggara seperti Indonesia, Thailand dan Filipina akan merebut 16 slot ke Piala Asia 2021 yang dijangka berlangsung pada September atau Oktober 2019.

"Kami amat gembira dengan prestasi yang dipamerkan.

"Kami berdepan cabaran sukar terutama ketika berdepan Guam, yang mempunyai ramai pemain kelahiran Amerika Syarikat.

"Kami menewaskan Singapura dan Indonesia untuk menjadi pasukan kedua terbaik dan kami amat gembira dengan kejayaan itu," katanya.

Tumpuan Lester sebelum tamat tahun ini adalah untuk memastikan Negeri Sembilan mempertahankan gelaran juara Piala Agong.

Mereka mengesahkan laluan ke separuh akhir hari ini selepas mengekalkan rekod kemenangan bersih dalam tiga aksi kumpulan dengan membenam pasukan Pilihan MABA 136-26.

"Kami memaparkan aksi terbaik pada waktu yang tepat.

"Selepas memenangi kejuaraan ini tahun lalu, mempertahankannya merupakan sasaran utama kami.

"Kami di landasan tepat untuk mara ke separuh akhir dengan keyakinan tinggi," tambahnya.