Denver Nuggets melakar satu peristiwa bersejarah dengan melengkapkan kebangkitan menakjubkan untuk mara ke final Persidangan Barat selepas menewaskan Los Angeles Clippers dalam pertemuan penentuan siri NBA itu.

Denver memenangi Game 7, separuh akhir Persidangan Barat, 104-89 sebentar tadi untuk menempah perlawanan play-off menentang pilihan utama, Los Angeles Lakers.

The Nuggets mengatasi Clippers untuk muncul sebagai pasukan pertama dalam sejarah NBA yang memadam defisit 1-3 sekali gus memenangi satu lagi perlawanan bersiri dalam musim yang sama susulan kejayaan ke atas Utah Jazz.

Selepas ketinggalan 54-56 dalam separuh masa pertama, Nuggets mendahului skuad kendalian Kawhi Leonard itu 50-33 dalam separuh masa kedua aksi di Orlando, Florida, di mana Denver akan turun buat pertama kalinya dalam perlawanan akhir Persidangan sejak dinafikan Lakers pada 2008-09.


Sementara itu, Miami Heat pula menempah kemenangan dramatik 117-114 ketika mengatasi Boston Celtics dalam pertemuan pertama perlawanan akhir Persidangan Timur.

Tiga mata sumbangan Jimmy Butler meletakkan Heat di depan ketika permainan berbaki 12 saat dan dalam masa sama, rakan sepasukan, Bam Adebayo, mengekang Jayson Tatum untuk menafikan bintang Celtics itu mengikat perlawanan.