Bintang Los Angeles Lakers, LeBron James, berkata semalam bahawa dia tidak akan memakai mesej keadilan sosial di jersinya apabila saingan NBA musim ini kembali diteruskan di Orlando, Florida hujung bulan ini.

Kebanyakan pemain NBA akan meletakkan satu mesej sosial di belakang jersi mereka tetapi James dan beberapa pemain lain enggan melakukannya.

"Ia bukannya tidak mengormati senarai (mesej) yang telah diberikan kepada pemain," katanya dalam satu sidang video.

"Saya memuji sesiapa sahaja yang memutuskan untuk meletakkan sesuatu di belakang jersi mereka. Ia hanya sesuatu yang tidak sesuai dengan misi saya, dengan tujuan saya."

NBA dan Persatuan Pemain bersetuju untuk meletakkan beberapa mesej di belakang jersi, termasuk 'Black Lives Matter', 'Say Their Names', 'Vote', 'I Can't Breathe' dan 'Equality'.

"Semua yang saya lakukan mempunyai tujuan dan makna. Saya tidak perlu memiliki sesuatu di bahagian belakang jersi saya agar orang memahami misi saya atau mengetahui apa yang saya lakukan dan apa yang saya mahu lakukan di sini," tambahnya.

James dan Lakers akan memulakan semula saingan musim dengan menentang Los Angeles Clippers pada malam pembukaan 30 Julai ini.

Lakers mendahului Liga Bahagian Barat dengan rekod 49-14, 5.5 perlawanan di depan Clippers.