Kyrie Irving akan bersama Brooklyn Nets untuk tempoh panjang dan tidak akan kecewa biarpun mereka tergelincir kepada rekod 3-4 dengan kekalahan 123-122 kepada Washington Wizards.

Nets mensia-siakan empat daripada lima perlawanan terakhir dengan Irving terlepas jaringan tiga mata pada 5.9 saat terakhir dan Kevin Durant gagal memanfaatkan peluang kedua selepas Timothe Luwawu-Cabarrot melakukan rebound.

Terdapat banyak perbincangan di atas gelanggang sesama pemain Brooklyn sepanjang perlawanan itu di mana pasukan dengan muka baru itu berusaha menamatkan pergelutan mereka awal musim ini.

Irving merekodkan jumlah tertinggi 30 mata dan 10 bantuan sepanjang perlawanan itu tetapi lima turnover yang dilakukannya selain enam lagi yang dilakukan Durant, lebih separuh daripada kesluruhan 20 yang dilakukan pasukannya.

Ketua jurulatih, Steve Nash, berkata "kesilapan mudah pertahanan, rebound yang ofensif dan turnover adalah isu utama" walaupun point guard utamanya, Irving, yakin mereka pasti dapat mencari penyelesaian.

"Ia hanya bola keranjang. Saya sudah melaluinya untuk tempoh yang panjang di peringkat tertinggi dan hadiah paling hebat adalah mengajar permainan ini kepada orang lain, dapat menyamai tahap mereka atau meningkatkan tahap mereka setara anda untuk menjadi sebuah pasukan yang berfungsi hebat.

"Ia hanya memerlukan masa. Ia tidak dapat diselesaikan dalam satu malam, saya tidak menjangkakannya, saya tidak akan kecewa selepas enam perlawanan atau sebanyak mana perlawanan kami bermain.

"Objektif untuk musim ini adalah terus menjadi lebih baik dan bersedia untuk mendapatkan 16 kemenangan dalam playoff, jadi kami akan menikmatinya.

"Kami perlu menetapkan jangkaan yang realistik tentang apa yang kami mahukan daripada kumpulan ini ketika ini... (apabila) kami melakukan usaha yang tekal sepanjang beberapa bulan ini dan mempamerkan peningkatan, aksi yang tekal, komunikasi yang tekal, kemudian kami akan baik-baik sahaja.

"Kami juga komited. Saya tahu semua pemain di dalam bilik persalinan dan semua dalam organisasi ini komited untuk melakukannya. Kami mahu mengubah segala-galanya dan ia bukan boleh dilakukan dalam satu malam.

"Saya bukan datang ke sini untuk dua atau tiga tahun atau sesuatu seperti itu. Saya teruja dengan perjalanan yang mendatang dan akan terus menjadi lebih baik. Ia semudah bola keranjang tetapi usaha sepasukan memerlukan masa untuk disatukan," katanya.