Bintang Los Angeles Lakers, Anthony Davis, menamatkan penantian panjangnya untuk kembali beraksi tetapi pasukan juara bertahan NBA itu tewas 110-115 kepada Dallas Mavericks sebentar tadi.

Davis diketepikan sejak 14 Februari lalu disebabkan tendinosis dan masalah otot betis di kaki kanannya -- All Star lapan kali itu terlepas 30 perlawanan dan tidak dapat beraksi dalam tempoh paling panjang sepanjang kariernya.

Bagaimanapun, Davis kembali menjejakkan kaki ke gelanggang hari ini dan menamatkan saingan itu dengan rekod empat mata, empat rebound, satu bantuan, satu hadangan dan satu pintasan sepanjang beraksi selama 17 minit.

Lakers -- yang masih tidak dapat menurunkan LeBron James kerana kecederaan buku lali -- dibarisi Dennis Schroder (25 mata dan 13 bantuan), Andre Drummond (14 mata dan 19 rebound) dan Kentavious Caldwell-Pope (29 mata) tetapi masih gagal menumbangkan Dallas.

Luka Doncic pula muncul pemain terbaik Mavericks dengan 30 mata, sembilan rebound dan lapan bantuan.

Keputusan penuh:
Boston Celtics 99-86 Phoenix Suns
New Orleans Pelicans 135-110 Orlando Magic
Milwaukee Bucks 124-117 Philadelphia 76ers
San Antonio Spurs 106-91 Detroit Pistons
Chicago Bulls 106-91 Charlotte Hornets
Dallas Mavericks 115-110 Los Angeles Lakers