Ketua jurulatih Philadelphia 76ers, Brett Brown, yakin pemain All-Starr, Joel Embiid, akan kembali ke gelanggang sebelum saingan playoff NBA bermula.

Embiid terlepas perlawanan di antara Philadelphia dan Phoenix Sun di Orlando, Florida awal pagi tadi berikutan kecederaan buku lali.

Pemain yang tersenarai sebanyak tiga kali dalam senarai All-Star itu mengalami kesakitan di pergelangan kaki kirinya dalam suku pertama ketika pasukannya tewas kepada Portland Trail Blazers di Walt Disney World Resort hujung minggu lalu.

Philadelphia -- yang menduduki tangga keenam Liga Bahagian Timur dengan rekod 42-28 -- akan menamatkan musim ini dengan berdepan juara bertahan, Toronto Raptors, awal pagi Khamis ini, sebelum bertemu Houston Rockets dua hari kemudian.

Brown, bagaimanapun, berharap Embiid akan dapat beraksi menjelang pascamusim dengan berkata kepada wartawan: "Saya menjangkakan dia (dapat bermain dalam playoff), ia hanya pandangan saya.

"Tiada siapa yang akan gembira jika sesuatu yang buruk berlaku tetapi saya percaya adalah amat baik jika dia dapat beraksi ketika saingan playoff bermula," katanya.
Embiid merekodkan purata 23.5 mata, 11.8 rebound dan 3.1 bantuan bagi satu perlawanan sepanjang bersama 76ers musim ini.

Seorang lagi bintang 76ers, Ben Simmons, pula menjalani pembedahan lutut dan dijangka akan terlepas baki saingan musim ini.