Bintang Brooklyn Nets, James Harden, bersorak dalam penampilan sulungnya sambil ketua jurulatih, Steve Nash, menghamburkan pujian kepada bekas Pemain Paling Bernilai (MVP) NBA itu.

Harden muncul pemain pertama dalam sejarah NBA yang mencatat lebih 30 mata menerusi 'triple-double' untuk Nets menundukkan Orlando Magic 122-115, sebentar tadi.

Pemain All-Star sebanyak lapan kali itu dibeli daripada Houston Rockets pada Khamis lalu dan dia tidak perlu mengambil masa lama untuk menyerlah dengan menghasilkan 32 mata selepas menyumbang 14 bantuan jaringan, 12 rebound dan empat pintasan.

Harden berkata selepas perlawanan: "Rasanya sangat bagus (untuk meraih kemenangan). Kami memang berhak.

"Secara individu, saya perlu berhenti daripada terus kehilangan bola tetapi ia dibentuk menerusi keserasian dalam latihan, saya hanya sempat mengkaji rakaman perlawanan kami yang lalu.

"Jadi untuk perlawanan pertama ini saya rasa gembira kerana dapat merakamkan kemenangan dan kami perlu teruskan perjuangan."




Harden yang ditanya mengenai pencapaian rekod NBA itu mengulas: "Tidak, saya hanya gembira kerana kami menang. Statistik itu tidak membawa apa-apa makna."

"Apabila anda membeli pemain yang benar-benar bagus, ia menjadi sangat mudah.

"Saya hanya perlu belajar membaca gerakan dan di mana kedudukan yang digemari rakan sepasukan.

"Kami perlu mengenali dengan lebih rapat sebagai individu dan sebaik kami mencipta keserasian, jumlah serangan kami yang dipatahkan itu akan dapat diperbaiki lagi."