Boston Celtics bangkit dalam perlawanan akhir Persidangan Timur menentang Miami Heat menerusi kemenangan 117-106 dalam Permainan 3, sebentar tadi.

Berikutan ketinggalan 0-2 secara agregat daripada siri tujuh pertemuan itu, Celtics merapatkan jurang di Walt Disney World Resort.

Bintang Celtics, Jayson Tatum, mendahului pungutan mata 'double-double' -- 25 mata dan 14 rebound selain lapan bantuan jaringan -- ketika Boston merapatkan jurang 2-1 dengan Miami.

Jaylen Brown menamatkan aksi dengan 26 mata menerusi 11 penyudah daripada 17 percubaan sementara Kemba Walker menyumbangkan 21 mata dan Marcus Smart 20.


Dalam satu lagi perkembangan menarik buat Boston, Gordon Hayward kembali daripada kecederaan pergelangan kaki untuk penampilan pertamanya sejak 17 Ogos lalu.

Dia menyumbang enam mata selepas lebih 30 minit dimasukkan dari bangku simpanan.

Bam Adebayo sekali lagi membintangi Miami dengan 27 mata dan 16 rebound, manakala Tyler Herro memberi aksi positif sebagai pemain gantian menerusi koleksi 22 mata.


Begitupun, Miami tidak berpeluang untuk mendahului Permainan 3 dan gagal bangkit ketika ketinggalan 13 mata dalam separuh masa pertama.

Boston kemudian mengerah keringat untuk selesa dengan pendahuluan 20 mata dalam suku keempat sebelum Miami cuba memberi tentangan, tetapi ternyata ia sudah terlalu lambat untuk mereka mengelak kekalahan.