NBA: Brooklyn Nets tandatangani Michael Beasley

Oleh Muzaffar Musa 10 Julai 2020 30
NBA: Brooklyn Nets tandatangani Michael Beasley
Brooklyn Nets menandatangani bekas pemain pilihan nombor dua keseluruhan, Michael Beasley, bagi menghadapi jadual kompetitif NBA musim ini.

Pasukan itu mengesahkan perkara berkenaan dalam satu kenyataan semalam dengan menggelarkan Beasley sebagai "pemain gantian".

Beasley tidak pernah beraksi dalam NBA sejak musim lalu, namun menyertai kejohanan anjuran Persatuan Bola Keranjang China dengan mewakili Guang Dong Southern Tigers pada penghujung 2019.

Kesepakatan itu berlaku sehari selepas Nets mendatangkan seorang shooting guard veteran, Jamal Crawford, bagi menghadapi jadual padat kejohanan 22 pasukan NBA , yang akan bersambung di Orlando, Florida hujung bulan ini.

Beasly, 31, dan Crawford, 40, didatangkan bagi menampung kekurangan pemain utama Nets, sama ada yang sedang menjalani pemulihan kecederaan atau yang menarik diri berikutan pandemik koronavirus.
 
Pemain tengah,  DeAndre Jordan, Taurean Prince (penyerang) dan Spencer Dinwiddie (pertahanan) didapati positif Covid-19 dan tidak dapat menyertai pasukan itu ke Orlando.

Seorang lagi penyerang, Wilson Chandler, pula menarik diri kerana mahu memberikan keutamaan kepada kesihatan diri dan keluarganya.

Kevin Durant masih belum dapat menyarung jersi Nets memandangkan perlu menjalani pemulihan kecederaan retak tendon Achilles manakala Kyrie Irving pula terpinggir selepas menjalani pembedahan bahu 3 Mac lalu.

Dengan kehilangan ramai pemain utama, Jarret Allen (tengah), Caris LeVert dan Joe Harris (sayap) akan menjadi sandaran utama pasukan itu bermula 31 Julai ini.

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen