Golden State Warriors telah menguasai Western Conference selama dua musim berturut-turut dalam NBA dan dengan ketibaan bintang Oklahoma City Thunder, Kevin Durant, mereka dijangka mendominasi buat musim ketiga berturut-turut.

Namun, adakah itu bermakna pasukan lain akan mengibarkan bendera putih?

Sudah tentu tidak. Jadi siapakah yang bakal menjadi pencabar?

Oklahoma City Thunder


Thunder mendahului Warriors 3-1 ketika Final Western Conference sebelum kembali dikejar.

Bagaimanapun, skuad OKC kali ini kehilangan beberapa tonggak berbanding musim lalu yang berjaya memenangi 55 daripada 82 perlawanan.

Pemain point guard, Russell Westbrook, dijangka membawa cabaran OKC musim ini tanpa kelibat Durant dan Serge Ibaka yang telah berhijrah ke Orlando Magic.

Victor Oladipo, pemain yang ditukarkan dengan Ibaka, mampu mengisi kekosongan tersebut sekiranya bingkas membentuk keserasian baru bersama Westbrook.

San Antonio Spurs

Spurs, buat kali pertama sejak tahun 1996, perlu menghadapi musim baru tanpa kelibat bintang veteran, Tim Duncan, yang telah mengumumkan persaraan musim lalu.

Walaupun kehilangan Duncan, mereka berjaya membawa masuk Pau Gasol dan dengan dua pemain veteran, Tony Parker dan Manu Ginobili, masih mengetuai pasukan, ditambah dengan calon Pemain Paling Bernilai (MVP), Kawhi Leonard, San Antonio Spurs dijangka kekal sebagai pesaing utama.

Portland Trailblazers

Trail Blazers turut memiliki peluang cerah mencabar kejuaraan musim ini.

Gandingan dua pemain muda, Damian Lillard, dan pemain yang merangkul anugerah Pemain Paling Meningkat Naik musim lalu, C.J. McCollum, dianggap sebagai yang terbaik dalam NBA.

Meskipun tewas kepada Warriors dalam lima pertemuan berturut-turut, Portland memberikan tentangan hebat dan berjaya memenangi satu perlawanan.

Minnesota Timberwolves

Minnesota Timberwolves memilki skuad yang berbakat, namun barisan pemain seperti Zach Lavine, Andre Wiggins dan Karl-Anthony Towns masih terlalu muda dan kurang berpengalaman untuk mengetepikan cabaran Warriors.

Sukar untuk menjangkakan pasukan manakah yang mampu menamatkan dominasi Warriors musim ini, namun alasan itu sahaja sudah cukup untuk membuatkan Western Conference sebagai perlawanan yang perlu menjadi fokus musim ini.