Pemain import Westports Malaysia Dragons, Marcus Marshall, menuntut rakan sepasukan agar mempamerkan kebangkitan menjelang pertemuan menentang kelab Thailand, Mono Vampire, dalam saingan Liga Bola Keranjang ASEAN (ABL) 2017/2018 di Stadium MABA, esok.

Selepas dikecewakan Chong Son Kung Fu dua hari lalu, Dragons akan berdepan Mono Vampire buat kali kedua musim ini selepas memenangi pertemuan pembuka tirai 116-112, minggu lalu.

Ketika itu, Marshall menjadi tunjang utama pasukan dengan mengutip 60 mata, rekod baru oleh pemain yang beraksi dalam saingan ABL buat julung kalinya.

Begitupun, pemain kelahiran Minnesota, Amerika Syarikat (AS), itu yakin pihak lawan akan tampil dengan pendekatan berbeza bagi menyekat Dragons daripada meraih kejayaan di laman sendiri.

"Saya hanya memberi fokus kepada permainan sendiri serta membantu pasukan untuk beraksi baik.

"Saya tidak kisah dengan pungutan mata peribadi asalkan kami menang, kami mempunyai pemain yang mampu memberi sumbangan.

"Saya juga tidak kisah dengan statistik individu asalkan kami menang," katanya.

Selain Marshall, Dragons juga akan menyandarkan harapan kepada seorang lagi pemain dari AS, Curtis Washington, di samping Patrick Cabahug dan Reil Cervantes, masing-masing dari Filipina.

Dia turut yakin peluang Dragons untuk memburu slot empat pasukan terbaik dalam kalangan sembilan pencabar musim ini dapat dicapai, seterusnya mengesahkan slot play-off Piala Kejuaraan.

"Setiap perlawanan adalah penting, lebih-lebih di tempat sendiri," ujarnya.