Satu petisyen untuk mengabadikan Kobe Bryant sebagai logo baru NBA telah memperoleh lebih daripada seribu tandatangan selepas legenda Los Angeles Lakers itu terbunuh dalam satu nahas helikopter semalam.

Bryant, 41, dan anak perempuannya yang berusia 13 tahun, Gianna, terbunuh bersama tujuh mangsa lain apabila helikopter yang dinaiki mereka terhempas di Calabasas, California.

Diiktiraf sebagai salah seorang legenda, Bryant telah memenangi lima kejuaraan NBA dan dua pingat emas Sukan Olimpik buat Amerika Syarikat (AS) selain menjadi pemain paling bernilai (MVP) NBA pada 2008.

Ketika dunia sedang meratapi pemergian bekas pemain terulung itu, yang pernah tersenarai dalam kalangan All-Star NBA sebanyak 18 kali, satu petisyen dikeluarkan untuk memohon imej Bryant dijadikan logo baru NBA bagi mengenang bekas bintang dunia itu.

Petisyen itu berkata: "Dengan kematian mengejut Kobe Bryant, sila tandatangan petisyen ini untuk mengabadikannya dalam logo baru NBA."

Bryant menghabiskan karier selama 20 tahunnya di Lakers sebelum bersara pada 2016.

Selepas menyertai liga itu pada 1996, dia telah menghasilkan 33,643 mata daripada 1,946 perlawanan.



Editor: Muzaffar Musa