Kombinasi pemain buat Thomas gembira

Oleh Penulis Jemputan 24 November 2017 16
Kombinasi pemain buat Thomas gembira
Gabungan pemain berpengalaman serta beberapa muka baru menjadi sandaran buat pasukan Malaysia Dragons bagi menghadapi saingan Liga Bola Keranjang ASEAN (ABL) musim 2017-2018.

Perubahan perlu dilakukan oleh Dragons selepas skuad muda yang menjadi taruhan pada musim lalu gagal menempatkan diri dalam kalangan empat pasukan terbaik.

Perkara itu membuatkan jurulatih Dragons, Chris Thomas, memanggil semula tonggak senior, antaranya ketua pasukan, John Ng, bagi memperkuatkan pasukan.

Mereka turut dibantu tiga pemain import apabila Salomon Jones serta Reil Cervantes dikekalkan untuk musim ini selain penyertaan Patrik Cabahug dari Filipina.

Thomas juga menjelaskan gandingan yang dimiliki Dragons ketika ini mampu memastikan wakil negara itu lebih menyerlah pada edisi kali ini.

"Saya benar-benar gembira dengan apa yang kami miliki. Ia terdiri daripada kombinasi yang baik di antara pemain muda dan berpengalaman.

"Tahun ini mampu memberikan hasil yang baik," katanya.

Dragons akan memulakan kempen dengan pertemuan menentang kelab Thailand, Mono Vampire, di Bangkok hari ini.

Musim 2017-2018 menyaksikan penambahan tiga lagi pasukan dan Thomas menjangkakan persaingan sengit bakal disaksikan bagi merebut tempat ke saingan play-off kejuaraan.

"Ia bakal menjadi tahun yang terbaik buat ABL kerana bukan sekadar mengenai pemain yang masuk bertanding tetapi perlumbaan merebut kejuaraan.

"Saya fikir apabila anda mempunyai pasukan yang lebih banyak, ia menjadikan persaingan lebih sengit," katanya lagi.

 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen