Skuad bola keranjang lelaki negara menjadikan semangat 1989 sebagai sandaran bagi memastikan pingat di laman sendiri dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Sukan SEA 1989 menjadi simbolik kejayaan bola keranjang negara ketika Malaysia yang juga tuan rumah merampas pingat emas daripada Filipina.

Aura itu yang cuba disuntik ketua jurulatih negara, Goh Cheng Huat, yang kembali mengemudi skuad negara, Mei lalu, sejak kali terakhir membimbing Malaysia pada 2011.

Malah, Cheng Huat serius mahu memastikan gemilang buat Malaysia apabila bersedia untuk meletak jawatan, andai dia gagal dalam Sukan SEA 2017.

"Secara peribadi, saya mensasarkan pingat emas. Pemain tempatan kami perlu menyerlah, kali ini saya mahu melihat peningkatan dari segi corak permainan.

"Saya meletakkan sasaran minimum untuk sekurang-kurangnya meraih medal untuk Sukan SEA Kuala Lumpur," katanya.

Cheng Huat mempunyai tempoh sehingga Mac depan untuk membentuk skuad yang terdiri daripada 15 pemain terbaik.

Dia turut mengambil kesempatan menguji bekas veteran negara seperti Chee Li Wei dan Wee Chuan Chin.

"Mereka masih berkaliber, tapi berdepan halangan faktor kerja dan karier.

"Mereka perlu mengambil peluang bermain di tempat sendiri dan mereka masih boleh mengorbankan masa mereka.

"Saya akan mempertaruhkan kombinasi pemain muda dan berpengalaman."