Penggunaan ganja sebagai ubat telah menjadi topik hangat dalm kalangan pemain NFL yang seringkali mengalami masalah kecederaan, namun pengakuan oleh salah seorang jurulatih terbaik NBA mencetuskan kontroversi baru.

Ketua jurulatih Golden State Warriors, Steve Kerr, mengakui mengambil ganja bagi melegakan sakit belakang yang sering mengganggunya sejak beberapa tahun ini.

Kerr melalui dua pembedahan tulang belakang pada tahun 2015 hingga terlepas empat bulan pertama bagi musim 2015-16.

Selepas gagal menemui jalan penyelesaian menerusi perubatan tradisional, pengendali berusia 51 tahun itu mula mengambil ganja.

"Saya mungkin mendapat masalah dengan pengakuan ini, tetapi saya telah mencuba ganja sebanyak dua kali tahun lalu ketika saya terpaksa menghadapi sakit belakang yang kronik," Kerr memberitahu The Warriors Insider Podcast pada Jumaat.

"Selepas melakukan banyak kajian, saya tidak tahu sama ada saya akan gagal ujian doping. Saya tidak tahu sama ada seorang jurulatih perlu menjalani ujian itu.

"Tetapi apa yang saya tahu, terutamanya dalam tempoh dua tahun ini, saya pasti dengan perkara ini -- Vicodin tidak baik untuk tubuh badan kamu.

"Kesannya jauh lebih teruk daripada mengambil ganja, terutamanya jika kamu cuba mencari pil penahan sakit. Ia akan memberi kesan yang lebih parah.

"Mungkin pada masa akan datang NBA dan NFL akan menyedari perkara ini."

Kerr bersetuju dengan pandangan bahawa penggunaan dadah terkawal memberi kesan lebih baik berbanding mengambil dadah terlarang.