LeBron James menuntut penghormatan selepas memimpin Los Angeles Lakers menjuarai gelaran NBA pertama mereka dalam tempoh 10 tahun.

James menyumbang 28 mata, 14 rebound dan 10 bantuan jaringan ketika Lakers menumpaskan Miami Heat 106-93 dalam perlawanan 6 untuk memastikan kejayaan 4-2 secara agregat dalam NBA Finals.

Pemain berusia 35 tahun itu memenangi gelaran keempat dan dinobatkan sebagai Pemain Terbaik NBA Finals buat kali keempat dalam kariernya.

James gembira membantu Lakers memastikan kejuaraan ke-17 sambil mengatakan bahawa dia dan pasukan itu ingin dihormati.

"Kejayaan ini sangat bermakna. Ini amat bermakna bagi mewakili francais ini," katanya kepada ESPN.

"Ketika ke mari, saya memberitahu Jeanie (Buss, pemilik Lakers) bahawa saya akan mengembalikan francais ini ke kedudukan di sepatutnya.

"Mendiang ayahnya pernah melakukannya selama bertahun-tahun jadi dia menggunakannya sebagai azimat dan bagi saya, untuk menjadi sebahagian daripada francais bersejarah ini adalah satu perasaan yang sukar untuk dipercayai, bukan sahaja untuk diri saya sendiri malah rakan sepasukan, organisasi, jurulatih, pemain dan semua orang yang ada di sini.

"Kami hanya mahu kami dihormati. Rob (Pelinka, pengurus besar Lakers) menginginkan penghormatannya, jurulatih (Frank) Vogel mahukan penghormatannya, organisasi kami menginginkan penghormatan mereka, Laker Nation menginginkan penghormatan mereka dan saya juga menghormati saya."



Gelaran Pemain Terbaik keempat dalam NBA Finals mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai antara pemain terhebat sepanjang zaman.

Tetapi, bintang yang tersenarai dalam barisan pilihan sebanyak 16 kali itu berikrar untuk terus menyumbang kepada rakan sepasukannya.

"Satu perkara yang dapat saya lakukan adalah memberikan komitmen dalam permainan. Saya meletakkan diri, badan dan fikiran saya supaya sentiasa bersedia demi rakan sepasukan," katanya lagi.

"Sepanjang karier saya tidak pernah terlepas perlawanan play-off dan perkara terbaik yang boleh saya lakukan untuk rakan sepasukan adalah bersedia.

"Saya harap dapat membanggakan rakan-rakan dan itulah yang paling penting bagi saya. Saya membuatkan rakan sepasukan dan peminat dan keluarga bangga. Saya tidak sabar untuk pulang ke Akron, Ohio. Kami berjaya melakukannya sekali lagi dan itulah kepusan yang sebenarnya."