Michael Jordan merakamkan ucapan takziah buat "adiknya", Kobe Bryant, selepas legenda bola keranjang NBA itu terbunuh dalam satu nahas helikopter.

Bryant, 41, dan anak perempuannya yang berusia 13 tahun, Gianna, antara sembilan mangsa yang berada dalam helikopter itu, yang terhempas di Bandar Calabasas, California awal pagi tadi.

Pesuruhjaya NBA, Adam Silver, mengesahkan Bryant dan Gianna, yang juga seorang pemain bola keranjang, terbunuh dalam nahas itu, yang mula dilaporkan oleh rangkaian berita Amerika Syarikat (AS), TMZ, awal pagi tadi.

Bryant, yang menghabiskan seluruh karier NBAnya bersama Los Angeles Lakers, akan tercatat sebagai salah seorang legenda dalam sejarah sukan itu.

Jordan berkata dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pengurusnya bahawa dia menganggap Bryant sebagai ahli keluarganya.

"Saya amat terkejut dengan berita tragis menganai kematian Kobe dan Gianna.

"Kami kerap bercakap dan saya akan terlalu merindui perbualan kami.

"Dia pesaing yang digeruni, salah seorang legenda dalam sukan ini dengan keupayaan kreatif.

"Kobe juga seorang bapa yang amat menyayangi keluarganya -- dan amat berbangga apabila anak perempuannya itu mewarisi rasa cintanya terhadap sukan bola keranjang.

"Yvette (isteri Jordan) bersama saya untuk merakamkan ucapan takziah buat Vanessa (isteri Bryant), seluruh organisasi Lakers dan peminat bola keranjang di seluruh dunia," katanya.



Editor: Muzaffar Musa