Michael Jordan mengeluarkan kenyataan tegas berhubung kematian George Floyd yang maut ketika ditahan polis baru-baru ini apabila mengecam tindakan polis Minneapolis itu sambil meminta lebih banyak perubahan dan tanggungjawab mengenai ketidakadilan kaum.

"Saya sangat sedih, benar-benar sedih dan marah," kata pemain yang tersenarai dalam Dewan Kemasyhuran dan pemilik kelab bola keranjang, Charlotte Hornets, itu dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Hornets semalam.

"Saya melihat dan berasakan penderitaan, kemarahan dan kekecewaan semua orang. Saya berdiri bersama mereka untuk menyeru sesuatu perlu dilakukan mengenai perkauman dan keganasan yang tertanam terhadap bangsa kulit hitam negara ini. Cukup kami menghadapi keperitannya."

Floyd, yang berkulit hitam, maut Isnin minggu lalu walaupun tidak bertindak balas ketika ditahan dalam keadaan terbaring oleh pegawai polis Minneapolis yang berkulit putih, Derek Chauvin.

Kejadian itu dirakam oleh beberapa saksi hingga mencetuskan gelombang tunjuk perasaan termasuk keganasan di Minneapolis sebelum merebak ke bandar-bandar lain di seluruh Amerika Syarikat (AS).

"Saya tidak mempunyai jawapannya tetapi suara kolektif kita semua boleh menggambarkan kekuatan dan ketidakupayaan yang tidak ditawarkan oleh pihak lain," sambungnya.

"Kita harus saling mendengar, menunjukkan belas kasihan dan empati. Jangan sekali-kali berpaling daripada kekejaman yang tidak masuk akal. Kita perlu meneruskan ungkapan damai terhadap ketidakadilan dan menuntut tanggungjawab.



"Kita perlu bersatu suara dalam memberi tekanan kepada pemimpin supaya mengubah undang-undang atau perlu menggunakan suara kita untuk membuat perubahan sistemik. Se;aom daripada itu, kita perlu menjadi sebahagian daripada penyelesaiannya dan harus bekerjasama untuk memastikan keadilan bagi semua.

"Takziah buat keluarga George Floyd dan perwira yang tidak terhitung jumlahnya yang nyawanya telah diragut secara kejam dan tidak masuk akal melalui tindakan perkauman dan ketidakadilan."

Berbeza dengan legenda NBA lain seperti LeBron James dan Kareem Abdul-Jabbar, Jordan menghindari komen mengenai masalah politik dan sosial sepanjang kerjayanya sebagai pemain mahupun selepas bersara sehingga kadang-kadang mengundang kritikan atas keengganannya untuk menyuarakan isu-isu seperti itu.