TOUCH UP 86 MATRIX 66

Final pertama Liga Bola Keranjang Profesional Malaysia (MPL) menyaksikan Farmco Touch Up menewaskan NS Matrix 86-66 di Stadium MABA, Kuala Lumpur, sebentar tadi.


Pertembungan di antara dua pasukan terbaik MPL itu menyaksikan Touch Up menurunkan barisan terbaiknya dalam usaha untuk menyekat Matrix.

Namun, kejayaan menumbangkan JD Unicorn dalam separuh akhir menyemarakkan semangat Matrix untuk menghadapi perlawanan akhir itu.

Aksi dalam suku pertama memperlihatkan beberapa gerakan menarik dicaturkan Matrix untuk mendahului 25-20.

Touch Up, bagaimanapun, bangkit dalam suku berikutnya untuk mendahului 40-36 sebelum separuh masa.

Nama-nama besar milik Matrix seperti Wei Hong Chu, Steve Anthony dan Ooi Ban Sin jelas tidak dapat menyelamatkan keadaan apabila semakin jauh ketinggalan 63-49 dalam suku ketiga.

Dalam 10 minit terakhir suku keempat, Touch Up terus mempamer penguasaan untuk meraih kemenangan 86-66.

Aksi final kedua akan berlansung di venue sama, Jumaat ini.