Kemampuan LeBron James untuk mara ke Final Playoff NBA buat kali keenam berturut-turut adalah satu pencapaian yang menakjubkan sepanjang zaman, kata jurulatih Golden State Warriors, Steve Kerr.

James akhirnya menghadiahkan kejuaraan buat Cleveland selepas membawa Cavaliers mengatasi Warrios 4-3 dalam final musim lalu.

Ia merupakan kejuaraan ketiga buat James -- empat kali pemenang anugerah Pemain Paling Bernilai (MVP) -- dan final keenam berturut-turut bersama Cavs dan Miami Heat.

Sedang Kerr mencerminkan kejayaan Warriors merekodkan catatan baru dalam sejarah NBA -- 73 kemenangan daripada 82 perlawanan bagi musim 2015-16 -- dia memuji pencapaian James.

"Meraih 73 kemenangan satu kejayaan penuh beremosi buat kami," kata Kerr pada Jumaat.

"Semakin masa berlalu, kami semakin menyedari pencapaian itu bukan mudah untuk dilakukan kerana itulah kejayaan LeBron untuk mara ke final buat kali keenam berturut-turut merupakan pencapaian terbaik sepanjang zaman.

"Pemain mana yang mampu lakukan sepertinya? Mungkin Bill Russel atlet terakhir yang melakukannya.

"Michael Jordan pun tidak pernah melakukannya, Larry Bird, Magic Johnson turut tidak pernah mencapai kejayaan itu. Mara ke final buat kali keenam berturut-turut cukup menakjubkan."