Bintang Golden State Warriors, Kevin Durant, meramalkan pemain forward New Orleans Pelicans, Anthony Davis, akan mendahului carta jaringan NBA musim ini.

Durant membuat ramalan itu selepas menyaksikan Davis melakar 50 mata pada Rabu.

Bercakap pada Jumaat menjelang pertemuan kedua-dua pasukan, Durant -- yang mendahului senarai penjaring selama empat musim -- memuji kemampuan pemain berusia 23 tahun itu.

"Davis berkemungkinan akan mendahului senarai penjaring tahun ini dengan mudah..dia bermain dengan baik untuk mencatat 50 mata. Kini dia fokus untuk melakukannya dalam perlawanan lain," jelas Durant.

"Sukar untuk mengekang pergerakannya. Pada saya, dia memiliki gerakan pantas bagi seorang pemain yang beraksi di posisi power forward atau sebagai pemain centre.

"Dia memiliki ketinggian dan mampu membuat jaringan dari posisi berbeza. Dia juga boleh membuat lontaran tiga mata -- jadi dia mampu melakukan apa sahaja."