Stephen Curry menjalani pembedahan patah tangan di Los Angeles awal pagi tadi, demikian diumumkan pasukannya, Golden State Warriors.

Pemenang dua kali Anugerah Pemain Paling Bernilai (MVP) Liga Bola Keranjang Amerika Syarikat (NBA) itu mengalami kecederaan berkenaan ketika pasukannya menentang Phoenix Suns awal pagi Khamis lalu selepas terjatuh ketika cuba merebut bola 'rebound'.

Golden State merancang untuk mengumumkan perkembangan semasa mengenai Curry, yang lengannya ditindih pemain sasa Suns, Aron Baynes, dalam tempoh tiga bulan lagi -- bermakna dia berkemungkinan tidak dapat beraksi hingga Februari depan.

Pemain berusia 31 tahun itu -- yang enam kali berada dalam senarai All-Star -- mempunyai purata 20.3 mata dan 6.5 bantuan dalam empat perlawanan pertama musim ini.

Ketiadaannya merupakan satu lagi tamparan buat Warriors, yang turut kehilangan Kevin Durant sewaktu pramusim selain pemain yang turut berehat panjang, Klay Thompson.