Persatuan Bola Keranjang Nasional (NBA) serta Persatuan Pemain Bola Keranjang Nasional (NBPA) telah mencapai persetujuan untuk memotong 25 peratus gaji pemain bermula 15 Mei depan.

Pengurangan itu merupakan kali pertama berlaku buat pemain NBA sejak saingan liga ditangguhkan 11 Mac lalu ekoran wabak coronavirus.

Pemain akan dibayar penuh pada 1 Mei nanti dan bayaran terakhir dalam tempoh 60 hari akan ditangguhkan bagi mengurangkan pampasan.

Pengurangan itu dijangka dapat menyelamatkan pasukan sebanyak USD40 juta (RM174 juta) setiap bayaran.

"Menerusi perjanjian ini dan dalam usaha memberikan pemain pengurangan gaji secara berjadual, pemotongan sebanyak 25 peratus akan bermula dengan pemain yang menerima dua kali gaji mulai 15 Mei," kata wakil NBA.

Kenyataan itu dilihat memberi bayangan akan ada lebih banyak pemotongan selepas ini.

Sebanyak 259 perlawanan utama musim ini masih tertangguh dan ketika kebarangkalian untuk mereka kembali beraksi semakin kurang, masih belum ada aksi yang dibatalkan. Saingan playoff sepatutnya bermula hari ini.

Perjanjian itu juga melibatkan klausa tertentu yang membolehkan saingan liga memotong gaji mengikut situasi seperti bencana alam atau sebarang wabak. Berdasarkan peraturan itu, NBA dibenarkan untuk memotong 1.08 peratus gaji tahunan pemain setiap kali perlawanan dibatalkan.