LeBron James menarik balik kenyataannya mengenai tidak mahu bermain di stadium tertutup disebabkan wabak Covid-19.

Semalam, bintang Los Angeles Lakers itu berkata bahawa dia tidak mahu terlibat dengan perlawanan tanpa penyokong selepas NBA memberikan gambaran perkara itu berkemungkinan berlaku.

Penularan Covid-19 telah mengakibatkan kesemua aktiviti sukan di Itali ditunda sehingga 3 April ini manakala perlawanan bola sepak di Sepanyol dan Perancis akan berlangsung secara tertutup.

Di Amerika Syarikat (AS), MLB, MLS, NBA dan NHL telah menghentikan akses media ke bilik persalinan bagi tempoh yang akan ditetapkan.

James menjelaskan bahawa kenyataan itu dikeluarkannya tanpa menyedari perkara itu sedang berada dalam pertimbangan NBA.

"Ketika ditanya 'adakah anda akan bermain tanpa penyokong?' saya tidak tahu bahawa mereka sedang mempertimbangkan perlawanan di stadium tertutup kerana penularan virus tertentu.

"Sudah tentu saya amat kecewa jika tiada penyokong kerana mereka adalah sebab saya bermain.

"Saya bermain untuk keluarga dan peminat.

"Sekiranya mereka (NBA) membuat keputusan ke arah itu (beraksi di stadium kosong), saya akan kecewa tetapi dalam masa sama, anda perlu mendengar kata-kata mereka yang mengikuti perkembangan yang sedang berlaku ketika ini.

"Jika mereka rasa ia adalah yang terbaik demi keselamatan pemain, keselamatan francais, keselamatan liga dan mandatnya, kami akan menurutinya," katanya.

Setakat malam tadi, 472 kes positif dan 19 kematian direkodkan di AS.