Sehari selepas mengumumkan bahawa mereka mungkin akan mengurangkan gaji pekerja dan menjadikan tempoh pekerjaan hanya empat hari seminggu disebabkan impak wabak Covid-19, Philadelphia 76ers dan New Jersey Devils membatalkan perancangan itu.

Mereka telah meminta pekerja yang bergaji untuk mengambil potongan gaji sementara sebanyak 20 peratus sambil mengekalkan faedah penuh dalam usaha untuk mengekalkan 1,500 pekerja yang dibayar setiap jam sepanjang musim ini.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, Josh Harris, yang merupakan pengasas Harris Blitzer Sports & Entertainment -- syarikat yang memiliki dan mengendalikan 76ers dan Devils -- berkata: "Selepas mendengar luahan kakitangan dan pemain kami, amat jelas bahawa ia adalah keputusan yang salah.

"Kami telah membatalkannya dan semua pekerja akan dibayar gaji penuh.

"Ini adalah waktu yang luar biasa di dunia -- tiada antara kita yang pernah melaluinya sebelum ini -- dan keputusan seperti itu tidak akan membantu buat ketika ini.

"Kepada kakitangan dan peminat, kami memohon maaf di atas kesilapan ini," katanya.