Bakal terlepas MVP, James tidak kecewa

Oleh Ammar Hakim 21 Julai 2020 44
Bakal terlepas MVP, James tidak kecewa
Bintang Los Angeles Lakers, LeBron James, berkata dia tidak terkesan dengan keputusan untuk mengakhiri persaingan Pemain Paling Bernilai (MVP) NBA sebelum musim bersambung di Orlando.

MVP 2019-20 akan ditentukan menerusi permainan yang dilakukan sebelum saingan ditangguh Mac lalu ekoran pandemik koronavirus.

Ini bermakna pemain seperti James dan penyandang MVP, Giannis Antetokounmpo, tidak akan berpeluang untuk mengejar anugerah tersebut ketika NBA sedang membuat persiapan untuk kembali menerusi format 22 pasukan di Walt Disney Resort bermula 30 Julai ini.

James, bagaimanapun, memberitahu wartawan hari ini, "Saya tidak kecewa dengan apa yang telah berlaku. Anda hanya mengawal apa yang termampu.

"Dalam persaingan MVP, saya berasakan saya telah membuktikan kemampuan saya. Bukan hanya daripada segi individu tetapi daripada prespektif pasukan, kami sebagai pasukan nombor satu di Barat."



The Lakers telah beraksi 63 kali daripada 82 perlawanan sebelum saingan ditangguh, Los Angeles mendahului Western Conference dengan rekod 49-14, dengan James mengetuai pasukan.

Selepas musim pertama yang sukar di Los Angeles, James kembali ke tahap terbaik bagi musim 2019-20 -– bintang veteran itu mempamerkan prestasi yang cemerlang dan layak untuk merebut tempat anugerah MVP.

Ketika NBA menangguh saingan, James mengumpul 25.7 mata, 10.6 assists dan 7.9 rebound secara purata dalam setiap permainan bersama The Lakers.

Tentang Penulis

Ammar Hakim

Komen