Gagal melayakkan diri ke saingan play-off selama dua musim berturut-turut dalam saingan Liga Bola Keranjang ASEAN (ABL) tidak menjejaskan semangat positif jurulatih baru Westports Malaysia Dragons, Jamie Pearlman, untuk menghadapi musim 2018/19.

Pearlman yang berasal dari Australia menjadi taruhan Dragons untuk melupakan kekecewaan musim lalu yang menyaksikan mereka menduduki tempat kelapan keseluruhan.

Dia tiba untuk menggantikan Christopher Thomas yang mengambil keputusan kembali ke Amerika Syarikat selepas dua musim bersama Dragons.

Selain mendapatkan khidmat Pearlman, Dragons turut mengambil dua import baru, Sundiata Gaines dan Nnanna Egwu, selain mengambil semula Chris Eversley yang pernah mewakili pasukan itu pada musim 2014.

"Saya mengetengahkan cara yang betul untuk bermain bola keranjang dalam usaha mempamerkan corak permainan yang menarik.

"Apabila kami mampu melakukannya, kemenangan dan kekalahan akan menentukan nasib mereka sendiri.

"Buat masa ini, saya memberi tumpuan untuk memantapkan permainan dan apabila dalam pertengahan kempen nanti, barulah saya boleh menilai ke manakah arah tuju kami," katanya.

Dragons mengatur aksi persahabatan menentang Singapore Slingers di Stadium MABA Sabtu lalu sebagai antara persiapan untuk menghadapi musim baru ABL.

Meskipun tewas dalam pertemuan itu 67-81, Pearlman tetap berpuas hati dengan kombinasi yang dipamerkan pemain tempatan serta import.

Selepas ini, mereka bakal mengharungi beberapa lagi aksi persahabatan di Surabaya, Indonesia, sebelum membuka kempen ABL pada 23 November.

"Kami sudah melakukan persiapan selama seminggu dan masih awal lagi untuk menilai mereka.

"Saya melihat banyak aspek positif dan kami perlu bekerja keras menjelang aksi pertama musim ini," katanya lagi.