Universiti Putra Malaysia (UPM) merangkul pingat emas terakhir menerusi bola jaring untuk bergelar juara keseluruhan Sukan Insititusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2018 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, hari ini.

UPM memenangi acara terakhir temasya sukan itu selepas menewaskan Universiti Teknologi MARA (UiTM) 36-19 dalam perlawanan akhir.

Pemain kebangsaan yang beraksi dalam Sukan SEA 2017 seperti Norashikin Kamalzaman, Nurul Adha Abu Bakar dan Nur Syafazliana Mohd Ali yang membarisi UPM nyata menjadi duri dalam daging kepada skuad lawan.

Syafazliana selaku kapten pasukan tidak menolak kelebihan berpihak kepada UPM untuk menguasai seluruh perlawanan jika dilihat kepada kombinasi pemain kebangsaan yang ada.

"Memang ia satu tekanan selepas membawa nama Malaysia memenangi Sukan SEA 2017. Selain itu, kami perlu mempertahankan emas untuk UPM.

"Semua itu adalah tekanan tetapi kami dapat mengendalikannya dengan baik dan mengikut taktikal yang diberikan jurulatih," katanya.

Bekas kapten pasukan skuad negara, Nurul Adha, pula menganggap kejayaan itu sebagai satu permulaan baik untuk dirinya yang akan membuat persiapan untuk ke Kejohanan Bola Jaring Asia di Singapura pada September depan.

"Bagi perancangan untuk skuad kebangsaan, kami akan mempunyi fasa latihan, iaitu seminggu dalam setiap bulan.

"Ia adalah untuk menghadapi Kejohanan Bola Jaring Asia yang menawarkan kelayakan ke Piala Dunia di Liverpool tahun depan," katanya.