KL Wildcats tetap menghormati Selangor Angels menjelang pertembungan kedua-dua pasukan bagi aksi separuh akhir Netball Super League (NSL) di Stadium Juara, Bukit Kiara, Sabtu ini.

Biarpun Wildcats memenangi kesemua perlawanan di peringkat Kumpulan A, ia bukanlah jaminan buat mereka diberikan laluan mudah dalam mencari tiket ke pentas akhir bola jaring itu.

Wildcats mahu momentum kemenangan itu diteruskan sambil Selangor Angels mendambakan kebangkitan selepas ditundukkan Johor Jewels dalam perlawanan terakhir peringkat Kumpulan B, Sabtu lalu.

Bagi ketua pasukan KL, Nur Syafazliana Mohd Ali, mereka sudah bersedia dan yakin dengan percaturan jurulatih bagi memastikan tiket ke perlawanan akhir Ahad ini menjadi milik mereka.

"Kami cuba mengurangkan kesilapan lalu dalam latihan kali ini.

"Ia akan menjadi perlawanan yang menarik kerana Selangor sering merombak pasukan utama.

"Apapun, kami sudah bersedia menghadapi sebarang cabaran," kata pemain kebangsaan itu.


Kehangatan diteruskan !! Persoalan siapa ke Final bakal terjawab, pasukan yang mana bakal berada dalam 3 & 4 pula? Segalanya bakal terungkaiii hujung minggu ini !! #rulethecourt #nsl @nsl.my

Posted by Astro Arena on Tuesday, April 6, 2021


Pengendalinya, Norizan Rajab, melihat keseimbangan yang ada dalam pasukannya bakal memberikan kelebihan.

Norizan juga lega dengan prestasi yang ditunjukkan anak-anak buahnya sepanjang aksi di peringkat kumpulan.

"Kami menjalani persiapan yang baik.

"Tahap kecederaan pemain pula rendah dan kami akan memulakan persembahan separuh akhir dengan kuat.

"Kami menghormati Selangor yang mempunyai pemain kebangsaan yang baik.

"Jadi pemain kebangsaan kedua-dua pasukan ini akan menunjukkan mutu dan kemahiran bagi membantu pasukan masing-masing.

"Kami menjangkakan satu persembahan yang baik dan kami inginkan kemenangan untuk ke perlawanan akhir, " katanya.

KL mendominasi Kumpulan A dengan menewaskan Melaka Mystic, Kedah Sunshine dan Perak Phoenix.