You take it or you leave it

Oleh Azlan Mubin 10 January 2020 145
You take it or you leave it
Belum lagi membuka tirai saingan bola sepak Liga Malaysia musim 2020 tetapi pelbagai cerita kurang enak sudah hangat diperkatakan. 

Antara yg paling tragis buat pemain-pemain ialah isu yang berterusan berkaitan kegagalan pembayaran gaji atau lebih tepat tunggakan gaji dari pihak persatuan kepada pemain yang belum berkesudahan.

Selain itu, jika bercakap mengenai budget pasukan, sememangnya tahun 2020 ialah tahun berjimat cermat. 

Pada pengamatan saya setakat ini hanya Selangor dan Kedah yang mungkin mempunyai ‘kantung’ yang mencukupi untuk berbelanja selain Johor Darul Takhzim (JDT). Selebihnya biasa-biasa sahaja.

Situasi ini pastinya memberikan kesan terhadap pemain-pemain, terutamanya pemain yang masih belum mempunyai pasukan menjelang musim baru. Malah lebih sukar apabila kini lambakan pemain-pemain muda di pasaran. Itu tidak termasuk pemain-pemain yang berpengalaman yang turut bergelut mencari dan menanti pasukan yang belum kunjung tiba.

Apa pilihan pemain ketika ini? Realistiknya dalam keadaan yang tenat ini, pemain tidak boleh meletakkan demand yang tinggi. Mungkin sesetengah pemain meletakkan harga diri tinggi dengan berasaskan pengalaman serta pencapaian lalu sedangkan prestasi terkini mungkin tidak seperti dulu. Ya, logik bagi pemain itu sendiri. Tetapi, keadaan sekarang pastinya tidak logik bagi pihak pengurusan untuk mengeluarkan kos yg tinggi bagi mendapatkan hanya seorang pemain.

Namun mungkin pemain masa kini boleh ambil pedoman dan contoh dari pemain-pemain berpengalaman yang boleh di kategorikan ‘veteran’ tetapi mampu menempatkan diri dalam pasukan dengan harga yang masih realistik. Pemain yang saya maksudkan ialah Shukor Adan dan Indra Putra Mahayuddin.

Kedua-dua pemain ini akan menjangkau usia 41 dan 39 tahun menjelang musim 2020. Mereka antara tonggak utama pasukan Kuala Lumpur musim ini yang akan bersaing dalam Liga Perdana.

Apa yang menariknya buat mereka ialah dalam keadaan pemain-pemain sedang bergelut mencari hala tuju, mereka bertenang lebih awal ikat kontrak bersama The City Boys dan bertenang menjalani latihan bersama pasukan.

Lebih menarik baru-baru ini Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Nokman Mustaffa mendedahkan bahawa dua pemain itu merekodkan keputusan tertinggi pada ujian kecergasan yang dilakukan di Pusat Perubahan Universiti Malaya (PPUM) baru-baru ini.

Ini yang saya katakan, Shukor dan Indra contoh terbaik kerana mereka bijak dan realistik. Bijak dalam merencanakan hala tuju karier dengan membuktikan mereka masih bernilai berdasarkan ujian kecergasan. Manakala, realistik pula mereka menyedari tatkala usia semakin senja, jadi menempatkan diri dalam pasukan yang bersaing di Liga Perdana adalah yang terbaik di samping bayaran yang masih setimpal.

Kesimpulannya, peringatan buat pemain, musim 2020 ialah musim ‘you take it or you leave it’.

Kredit foto: KLFA

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen