The Reds mara, Ajax tersingkir

Oleh Burn Thevandran 11 December 2019 1293
The Reds mara, Ajax tersingkir
Pasukan Liverpool akhirnya mengesahkan slot ke peringkat kalah mati saingan Liga Juara Juara Eropah apabila jaringan Naby Keita dan Mohamed Salah mengesahkan tiga mata milik mereka dalam pertemuan menentang Salzburg.

Liverpool yang menang 15 daripada 16 perlawanan liga ternyata berada pada kelas tersendiri apabila mampu sekurang-kurangnya menang dengan enam atau tujuh gol andai semua peluang tidak disia-siakan.

The Reds gah memimpin Kumpulan E dengan 13 mata selaku juara kumpulan sambil tempat kedua menjadi milik wakil Itali, Napoli.

Biarpun menang besar 4- 0 ke atas Genk, pihak pengurusan Napoli membuat tindakan drastik memecat jurulatih berpengalaman, Carlo Ancelotti, yang diumumkan di laman sosial rasmi kelab dari Itali itu.

Keputusan drastik itu dibuat berdasarkan hubungan kerja yang kurang baik di antara jurulatih itu dan pemilik kelab.

Isu pemecatan Ancelotti sudah mula tersebar luas selama beberapa minggu di Itali dengan bekas pemain AC Milan, Gennaro Gattuso dijangka bakal menjadi penggantinya.

Buat masa ini, prestasi Napoli dalam saingan liga tidaklah begitu memberangsangkan memandangkan mereka sekadar menduduki tangga ketujuh liga.

Sementara itu, semi finalis musim lalu, Ajax, terpaksa akur gagal melepasi peringkat kumpulan apabila tewas mengejut kepada wakil Sepanyol, Valencia.

Jaringan tunggal Rodrigo Moreno selain pasukan Chelsea yang turut menumbangkan Lille 2-1, secara tidak langsung meletakkan Ajax di tangga ketiga dengan 10 mata, di kala The Blues dan Valencia berkongsi 11 mata untuk layak ke pusingan kalah mati.

Ia merupakan satu keputusan yang mengejutkan kerana Ajax adalah salah satu pasukan yang mempunyai rekod yang cukup baik dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah selain kerap melakukan kejutan di laman lawan.

Mungkin kehilangan beberapa pemain tonggak seperti Matthijs De Ligt dan Frankie De Jong sedikit-sebanyak memberi kesan kepada kualiti pasukan itu.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen