Tenang saja...

Oleh Burn Thevandran 5 December 2019 1224
Tenang saja...
Apabila skuad bola sepak bawah 22 tahun negara 'bungkus' dan pulang awal selepas gagal melepasi peringkat kumpulan, terlalu banyak pihak yang memberikan kritikan-kritikan pedas kepada skuad bola sepak negara.

Ada yang menyalahkan taktikal Datuk Ong Kim Swee.

Ada yang mempertikaikan ketiadaan Safawi Rasid.

Tidak kurang juga ada yang menyalahkan taktikal permainan, selain moral pemain yang seperti tidak bermain sepenuh hati.

Tenang semua, selaku salah seorang peminat bagi sukan bola sepak, Penulis percaya kekecewaan para peminat memang amat dirasai. Apatah lagi, tahun ini sukan bola sepak secara keseluruhannya boleh dianggap berjaya dengan begitu banyak keputusan positif diraih sama ada menerusi skuad senior, mahupun di peringkat belia.

Dengan situasi seperti ini, secara tidak langsung, harapan mahu menutup buku musim 2019 dengan kejayaan tentulah tinggi buat skuad yang beraksi di Sukan Sea. Malah, diletakkan dalam kumpulan yang tidak disertai Thailand dan Vietnam, peluang dilihat mudah buat skuad Datuk OKS mara ke separuh akhir sebenarnya.

Gagal mengutip tiga mata sewaktu berdepan Myanmar sebenarnya sudah menghadirkan rasa khuatir di kalangan peminat, ditambah pula tewas kepada tuan rumah, Fillipina yang secara tidak langsung membuktikan keresahan peminat sememangnya kena pada tempatnya. Menang sewaktu berdepan pasukan Timor Leste pula sekadar menghilangkan sedikit kerisauan di dada, namun tumbang 1-3 kepada Kemboja bukanlah sesuatu yang dijangka.

Tak mengapalah, tiada gunanya peminat mencaci maki, mengutuk mahupun menghina. Anggap sahajalah situasi ini sebagai 'wake up call' kepada semua pihak bahawa bukan sahaja negara-negara jiran sudah meningkat naik, mungkin juga kita sendiri yang terkebelakang sedikit yang membuka ruang buat negara lain menonjol.

Lupakan sejarah hitam sukan bola sepak Sukan Sea 2019, dan fokus kepada saingan yang mendatang. Datuk OKS juga sudah mengeluarkan kenyataan bahawa ini adalah Sukan Sea terakhir buat dirinya. Jadi perubahan harus dilakukan untuk penambahbaikan kepada skuad sedia ada.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen