Teka-teki pengganti Rafa Benitez

Oleh Burn Thevandran 28 June 2019 421
Teka-teki pengganti Rafa Benitez
Kerusi kosong ditinggalkan Rafael Benitez, yang meninggalkan Newcastle United minggu lalu, dilihat begitu diidamkan ramai individu. 

Masakan tidak, siapa yang tidak mahu mengemudi pasukan yang beraksi dalam liga bola sepak terbaik dunia?

Kekosongan yang ditinggalkan telah menarik minat ramai, antaranya bekas pemain pertahanan Barcelona dan Arsenal, Giovanni Van Bronckhorst. 

GVB yang berpengalaman membimbing pasukan Feyenoord dilihat mahu mencuba cabaran baru di England. 

Dia berjaya membimbing Feyenoord dengan baik sekali mengharungi saingan Liga Eredivise biarpun sering dihantui kehadiran Ajax Amsterdam dan PSV Eindhoven.

Seorang lagi bekas pemain Arsenal, Patrick Vieira, turut dilaporkan berminat membimbing Newcastle United. Vieira yang kini membimbing pasukan Nice menamatkan saingan Ligue 1 di tangga ketujuh.

The Magpies dilihat terdesak mencari individu untuk mengisi kerusi panas ketua jurulatih selepas kegagalan mereka memeterai kontrak baru dengan pengendali dari Sepanyol itu. 

Newcastle United yang menamatkan saingan liga di tangga ke-13 dilihat bakal melakukan sedikit pelaburan untuk mendapatkan pemain baru bagi mengharungi saingan musim depan.

Namun, segalanya bergantung kepada siapakah jurulatih baru, yang seterusnya akan menentukan pemain manakah yang bakal dibeli dan dijual. 

Adakah Newcastle United akan kembali kepada tradisi asal mereka melantik individu dari England, atau mungkin akan ada individu pertama dari Perancis mahupun Belanda yang akan menjadi jurulatih di St. James Park?

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen