Sabar Pak Arab, anytime je ni...

Oleh Burn Thevandran 29 April 2020 15425
Sabar Pak Arab, anytime je ni...
Kelab Liga Perdana Inggeris, Newcastle United, dikhabarkan sudah semakin hampir bertukar hak milik selepas 13 tahun dipengerusikan Mike Ashley. Berdasarkan laporan media sukan antarabangsa, wang deposit pemilikan kelab sudah pun dibayar iaitu sejumlah hampir RM 1 billion dan baki selebihnya akan dibayar selepas segala urusan dokumentasi dimuktamadkan.

Dengan proses pertukaran hak milik mungkin mengambil masa sekitar satu bulan, jutawan dari Tanah Arab dijangka akan memonopoli 80% saham kelab dan dijangka akan menyuntik dana bagi mendapatkan pemain baru serta menarik kemasukan penaja.

Skrip sama seperti apa yang berlaku kepada Chelsea dan Manchester City, kini ia bakal berlaku kepada The Magpies.

Penulis tidak mahu bercerita tentang siapa pemilik kelab atau pun sejarah gemilang silam Newcastle United, terutama sewaktu zaman mereka diterajui Alan Shearer. Akan tetapi penulis lebih tertarik mahu melihat andai pertukaran hak milik ini menjadi realiti, siapakah bakal menjadi ketua jurulatih dan pemain pemain bintang mana yang mahu dibeli? Apa transformasi dari segi fasiliti dan prasarana?

Apa yang pasti, jurulatih semasa, Steve Bruce, sudah boleh melupakan hasrat menyambung khidmatnya kerana penulis percaya beberapa jurulatih ternama seperti Mauricio Pochettino, Massimiliano Allegri dan Luciano Spaletti dijangka akan berada dalam senarai yang dimahukan pemilik kelab. Bekas jurulatih dari Sepanyol, Rafael Benitez, juga boleh dipertimbangkan selain siapa tahu dengan kewangan yang kukuh, mungkin Newcastle United mampu memancing jurulatih seperti Pep Guardiola ataupun Zinedine Zidane? 

Apabila sudah mendapat jurulatih baru, kini tiba masa untuk membeli beberapa pemain untuk memperkuatkan pasukan. Heboh di media sosial bahawa bintang Barcelona, Antoine Griezmann, akan menjadi sasaran utama untuk dibeli. Namun bagi penulis, untuk musim pertama di bawah pemilik baru, mereka perlu sekurang-kurangnya membeli satu atau dua pemain baru di posisi pertahanan, tengah dan serangan.

Pendapat peribadi penulis, penulis mendambakan barisan pertahanan memiliki dua pemain baru, mungkin kemasukan Matthijs de Ligt dan Danny Rose mampu menjana kekebalan barisan pertahanan Newcastle United dalam saingan Liga Perdana Inggeris untuk musim hadapan? Siapa tahu kan...

Pemain pilihan penulis di bahagian tengah yang harus dibeli adalah bintang muda England, Jadon Sancho yang kini beraksi bersama Borussia Dortmund. Sancho memiliki prospek masa depan yang amat cerah dan beliau juga berada dalam radar kelab-kelab besar seperti Liverpool dan Manchester United. Pemain antabangsa Jerman, Joshua Kimmich juga berada dalam radar penulis untuk posisi tengah bergandingan dengan Sancho.

Akhir sekali di bahagian serangan, andai Newcastle United mampu membawa masuk pemain yang sedang meningkat naik, Joao Felix yang kini bermain bersama Atletico Madrid, dapat pula bergandingan dengan Pierre Emmerick Aubameyang, fuhhhh... Tak dapat penulis nak bayangkan betapa padunya jentera serangan The Magpies.

Namun semua yang diatas adalah senarai peribadi pemain pilihan penulis andai Newcastle United memiliki dana yang kukuh. Benar, kejayaan tidak boleh dibeli dengan wang ringgit, tetapi harus diingat wang ringgit boleh membantu sesebuah kelab untuk meraih kejayaan.

(*artikel ini adalah pendapat peribadi penulis yang juga merupakan ahli Kelab Penyokong Newcastle United Malaysia yg dikenali sebagai ‘Toon Army Malaysia’ di Facebook dan Instagram. Penulis menjemput dengan segala hormatnya ‘lalang lalang’ utk mengisi borang dan menyertai kami.
 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen