Relax Brother, Relax

Oleh Burn Thevandran 31 July 2019 820
Relax Brother, Relax
Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), B.Sathianathan menempelak Lim Teong Kim yang memperkecilkan kemampuan dan kredibiliti jurulatih tempatan.

Selaku presiden PJBM, Sathianathan ternyata berang dan terkesan dengan komen bekas pengendali bawah 16 tahun negara itu. Sathiananthan yang juga antara individu berpengalaman di arena bola sepak Malaysia turut mempersoalkan mengapa LTK masih lagi angkuh biarpun dirinya sendiri gagal mencapai kadar penilaian indeks (KPi) untuk membawa skuad bawah 16 tahun negara ke Piala Dunia Bawah 17 tahun.

Komen balas pedas dari pengendali Selangor itu ada logiknya memandangkan LTK yang merupakan bekas pengendali akademi belia Bayern Munich itu memang lantang mengkritik tenaga kejurulatihan tempatan walaupun pencapaiannya di Malaysia sendiri tidak seberapa. Sepatutnya LTK harus berpijak di bumi yang nyata dan bukan sekadar melemparkan kritikan yang tidak berasas. Ini kerana LTK diberikan kebebasan 100% sewaktu mengendalikan NFDP tanpa campur tangan dari FAM mahupun pihak lain. Jika segala keputusan dan arahan di NFDP dibawak kuasa LTK, jadi wajarlah beliau dipertanggungjawabkan atas kegagalan program yang menelan kos yang amat tinggi.  Sathianantan sendiri secara peribadi amat menyokong program pembangunan akar umbi ini kerana ianya membantu menaikkan kualiti bola sepak Malaysia.

Sengketa antara LTK dan jurulatih-jurulatih tempatan sebenarnya telah lama berlaku apabila kedua-dua pihak saling bertelagah dan mengkritik antara satu sama lain. Ianya sebenarnya merupakan perkembangan yang sihat asalkan tidak keterlaluan. Kritikan yang membina akan membantu meningkatkan lagi kualiti kejurulatihan akan tetapi setiap kritikan harus ada asasnya dan bukan membuta tuli.

Penulis percaya, setiap jurulatih bola sepak akan mengalami jatuh bangun bersama pasukan yang dibimbing, tetapi alangkah baiknya andai pengalaman yang dimiliki dapat dikongsi bersama demi nama Malaysia. LTK mungkin mempunyai kelebihan membimbing pemain bertaraf dunia sewaktu di Jerman, tapi harus diingat, jurulatih tempatan amat arif dengan landskap bola sepak di Malaysia kerana mereka sudah lama makan garam di sini.

Pandangan peribadi penulis, penulis amat berharap kepakaran-kepakaran yang dimiliki oleh jurulatih berpengalaman sama ada dari Malaysia atau dari luar negara dapat diadun sebaiknya agar kegemilangan bola sepak negara mampu dikembalikan. Kita ada nama nama besar seperti Irfan Bakti, Ong Kim Swee, Dollah Salleh, ditambah pula kepakaran Lim Teong Kim dan tidak lupa kepada S.Balachandran yang membimbing skuad bawah 14 tahun negara, ini bermakna pemain pelapis dan belia negara berada di landasan yang tepat untuk bergelar pemain profesional asalkan kena acuannya.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen