Ranjau berliku buat Lampard…

Oleh Burn Thevandran 15 August 2019 530
 Ranjau berliku buat Lampard…
“Andai dua rembatan Tamaraebi Abraham dan Emerson menerjah gawang dan tidak terkena tiang dan palang, keputusan perlawanan pastinya berubah…”

Itu adalah luahan segelintir penyokong The Blues dalam perlawanan berdepan Manchester United di Old Trafford. Biarpun ianya hanya perlawanan pertama liga, namun kekalahan 4-0 itu ternyata memberikan tekanan yang amat hebat kepada pengurus pasukan, Frank Lampard dan anak-anak buahnya. Masakan tidak, kehadiran Lampard sewaktu menandatangani kontrak tiga tahun bersama Chelsea hadir bersama keyakinan menggunung para peminat yang mahu menyaksikan Chelsea tampil sebagai pasukan pencabar kejuaraan musim ini.

Kekangan untuk membeli pemain baru sehingga Januari tahun depan dilihat memberikan sedikit kesukaran buat Chelsea untuk mengekalkan kualiti musim lalu, tambahan pula penghijrahan Eden Hazard dan David Luiz, dua pemain senior turut memberikan sedikit kesan. Lihat sahaja dalam pertemuan berdepan United, mereka bukanlah terlalu bagus, tetapi kesilapan-kesilapan mudah yang dilakukan pemain Chelsea menyaksikan United berjaya mengambil kesempatan.

Penulis percaya bahagian benteng dan tengah tidak begitu menggusarkan Lampard, namun jentera serangan dilihat sedikit membimbangkan. Biarpun mempunyai pemain seperti Olivier Giroud, Pedro dan Michy Batshuayi, keserasian dan ketajaman jentera penyudah The Blues tidak begitu menggusarkan pertahanan lawan.

Kini, Chelsea akan berdepan Liverpool untuk Piala Super UEFA di Instanbul dan andai tewas, pasukan ini dijangka akan terus berdepan masalah keyakinan para pemain dan sudah tentu tekanan yang diterima Lampard juga akan memuncak. Diatas kertas, sudah tentu Liverpool akan menjadi pilihan untuk muncul pemenang. Satu fakta menarik, perlawanan ini akan diadili oleh pengadil wanita, Stephanie Frappart dari Perancis.

Adakah percaturan Lampard mampu memerangkap Liverpool dalam pertemuan ini?

Atau mungkin Chelsea perlu menunggu perlawanan yang akan datang berdepan Leicester City untuk mendapatkan kemenangan pertama di liga?

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen